Friday, June 26, 2015

"Tingkat Standard Ukhuwwah", Begitu Pesan Ramadan

..bismillahirrahmanirrahim.. 



Di tengah terik matahari membakar, peluh terus menitis dan membasahi tubuh, lalu terus memaksa jiwa untuk merasa sejuknya berpuasa. Yakin akan janji-Nya, “Ajruki ‘ala qadri nashabik; pahalamu sesuai kadar payahmu..” Masih adakah lagi hari di mana sepoian lembut angin padang terasa membelai begitu nikmat? Masih adakah lagi waktu di mana syaithan dibelenggu hingga setiap hirupan nafas pun dirasa penuh kebaikan?

Rabbunallah. Dengan kasih-Mu kami sampai di bulan ini. Dengan cinta-Mu kami, umat Islam diikat hati.

“Dan Dialah yang menyatukan antara hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun engkau membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di muka bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
(Al-Anfaal: 63)

Ramadan hadir membawa mesej Ukhuwwah. Sementara hati dididik dengan kekukuhan iman dan kekuatan amal, maka hati akan dipenuhi rasa kasih sayang dan kehangatan cinta. Sayangnya pada keluarga, kasihnya pada teman, cintanya pada jiran tetangga.  Tidak dilupa muslimin muslimat, jauh dekat di mata tidak ketinggalan. Ramadan menyampaikan pesan;

#Pesan 1: Jaga Lidah, Jaga Tingkah

Siang hari, betapa berhati-hatinya dalam kita menuturkan kata, kerana Allah tidak perlu pada lapar dan hausnya lisan yang terus berdusta, mengunjing, mencela, dan sering ke sana ke mari menabur bunyi-bunyi kesiaan. Betapa hati-hatinya kita, kerana setiap tingkah laku walau manusia lain mampu menjejakinya, namun masih mempunyai rahsia antara diri dan Ilah, akan niat yang menjengah hati walau sesaat cuma, bimbang bermaksiat kepada-Nya. Inilah indahnya tarbiyyah Ramadan.

Orang yang berpuasa merupakan orang yang kasih sayangnya paling peka. Disebabkan itu jiwanya menyayangi, mengasihi dan bersikap lembut terhadap kaum muslimin. “Sesungguhnya Allah memberikan wahyu kepadaku untuk bersikap tawadhu’,” kata Iyadh bin Himar al-Majasyi’i meriwayatkan dari Rasulullah saw; “hingga seseorang tidak menyakiti yang lainnya dan tidak berbangga diri terhadap orang lain.” [HR Muslim]. Saat kerongkong kehausan, dituturnya yang baik-baik sahaja agar saudaranya tidak berkecil hati. Saat perut kelaparan, diajar melakukan perkara-perkara bermanfaat sahaja, agar saudara sekeliling merasa bahagia. Lalu layaklah mereka menerima ganjaran agung dari-Nya, nikmat persaudaraan;

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal shalih, kelak Ar-Rahmaan akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.”
(Maryam: 96)

#Pesan 2: Berkongsi Rezeki Tuhan, Tamak Bukan Jalan

Antara faktor yang menghilangkan kasih sayang ialah perut yang terlalu kenyang. Perut yang kenyang hanya akan menimbulkan sikap tamak dan haloba. Lalu bulan puasa datang untuk menghancurkan sikap ini. “Cinta dunia, nikmatnya dan perhiasannya,” demikian dikatakan Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, “telah menyibukkan kalian dari mengharap akhirat; memikirkan, mengupayakan, serta memburunya.” Sejalan hasrat, terus-menerus kelalaian itu tak dapat diputus apa pun. Dan seiring syahwat, sambung-menyambung kealpaan itu tak dapat dibendung.

Di sana sini dilihat berlumba-lumba manusia menghulurkan. Rumah anak-anak yatim ‘fully-booked’ untuk majlis iftar. Masjid-masjid dilimpahi makanan, menu silih berganti sehari-harian. Ketika ini, dilihat insan-insan yang menjadikan seolah-olah harta itu tidak begitu berharga baginya. Seakan dunia itu begitu hina di matanya. Ringan baginya menyeluk poket pada pakaian, mudah baginya mengeluarkan tabung yang telah lama disimpan, dan seakan tiada beban dia menghulur bantuan. Moga spirit berterusan, menjadikan dunia di tangannya dan akhirat di hatinya.

 Begitu kisah mereka. Bagaimana kita terkesan akan fenomena Ramadan ini. Ingat sahaja imbalan, moga dikurnia kekuatan. “Hajatmu pada pemberian Rabbmu,” demikian dikatakan oleh Imam Ibn Al-Jauzy, “lebih besar daripada hajat orang yang kau bantu terhadap pertolonganmu”. Sungguh, dalam amal memberi, Allah-lah yang menganugerahi kita niat di dalam hati, kemampuan di tangan, dan pahala seusai kejadian.

#Pesan 3: Dicari Berkah Berjamaah, Ditingkat Prestasi ‘Uzlah

Ramadan, istimewa dari bulan lainnya. Tersedia pelbagai peluang untuk bersama. Kegiatan-kegiatan ibadah yang dilakukan secara jama’ie merupakan momentum dalam meluaskan lingkungan ta’aruf dan lebih mengukuhkan hubungan sesama muslim. Dari tidak mengenali jiran sebelah, akhirnya memberi salam bertukar juadah berbuka. Dari tidak bergaul rapat dengan ahli qaryah, akhirnya mampu duduk sedulang menjamah juadah iftar.

Lagi ditambah tadarrus dan tadabbur berkumpulan, mendirikan solat terawih berjemaah walau hanya lapan, dan amalan I’tikaf yang mana masjid malamnya dihidupkan.  Demikian diari aktiviti muslim dalam bulan Ramadan. Penuh jadualnya untuk berukhuwwah. Sedang rintih bersama Tuhan, mintanya pada Rahmaan, tetap dijaga rapi amalan walau bersendirian.

#Pesan 4: Banyak Doakan Saudara, Rugi Takkan Menerpa

Ya Rasulallah!”, terpa Sa’ad bin  Abi Waqqas, “Doakanlah pada Allah agar doa-doaku ini diterima”. Lalu jawab Baginda saw, “Wahai Sa’ad, bantulah aku dengan memperbaiki makananmu.. Bantulah aku dalam memperbaiki makananmu.” Ya, halal atau haramnya, thayyib atau khabitsnya, merupakan soal diterima atau ditolaknya doa kita. Ramadan, dengan pemeliharaan makanan, mampu menjamin kedekatan kita dengan Yang Maha Agung.

Di saat puasa mengeringkan bibir, memayahkan jasad beraksi, namun dengan kayanya jiwa, maka berdolah pada Allah. Rasulullah saw telah menjaminkan,

“Sesungguhnya Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka di tiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan sesungguhnya tiap muslim yang berdoa, maka akan dikabulkan baginya.”
[HR Ahmad]

Penutupnya, semoga pesan Ramadan tentang ukhuwwah ini mampu menggetarkan hati lalu melahirkan tindakan. Allahumma Innaka ‘Afuwwun Kareem, Tubibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anna.. Di tiap sayup tadarrus malam, proklamasi langit itu menggema, “Adapun puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendirilah yang akan memberikan pahalanya..
    

"Kata pengatur bicara 
Lidah saksi segala 
Di hadapan Rabb pemilik kita" 

 ..wassalam..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails