Saturday, April 18, 2009

Belaian Kasihmu

Bismillahirrahmanirrahim...

Kali ini muna ingin bawakan kisah tentang seorang ibu yang telah banyak berkorban demi permata hatinya. Walaupun mungkin agak panjang, namun insya-Allah, berbaloi baca!! Ayuh sama-sama kita hayati kisah ini..




PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Mithali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.

"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibu nya. Dipersilakan.

"Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun. Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibu nya naik ke pentas.Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibu nya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.' Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.

Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa."Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini.

Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu. "Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya.

Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, tatkala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anak-anak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran."Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman."Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak. "Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abang-abang dan kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau dua tahun."

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya."Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan pakai mereka."

"Sewaktu saya berusia enam atau tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang dan kakak-kakak kerana mereka mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri.""Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segala-galanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!"

"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka.""Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!""Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.

"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak.

Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya." "Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun. "Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi." "Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu."Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak. Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah. Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka. "Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu. "Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan.

Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air. Penat saya membersihkannya." "Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."

"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu . "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak." "Mirah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah." "Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal. Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu , walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak-anaknya yang lain." "Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?" "Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu , Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah. "Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu . Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak." Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu ." "Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak. Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak." "Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu ." "Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri.

Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah.""Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu." "Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru."

"Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. ""Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah." "Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur." "Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi.

Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah." Sepanjang mak berkata-kata, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu."Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak merasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah... "Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis. Peristiwa pada hari itu dan pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan menyayangi mereka. Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.

Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut. "Kenapa Mirah tolak tawaran itu?" "Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?" "Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak!" "Mirah tak menyesal ke kemudian hari nanti?" Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti. Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak." "Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya. Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka.

Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik. Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerja-kerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa. Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak." "Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui, segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya."

"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah. Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu. Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?" "Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya." "Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada.

Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.

Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang lain."Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah."

"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan." "Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang comel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak." "Sekian, wassalamualaikum warahmatullah.

"Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara. Penaku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana. Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penaku semula. Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai.

Setiap dari kita dilahirkan dari rahim seorang ibu dan dibesarkan dengan kasih seorang ibu. Persoalannya, adakah kita pernah menghargainya? Menghargai kasih sayang dan tunjuk ajar yang telah dicurahkan? Teringat sewaktu muna di Tadika Nurul Iman dulu, ada satu nasyid yang kami nyanyikan selepas tamatnya ihtifal tahunan.


Mama oh mama yang kusayang
Mendidikku jadi orang beriman
Dari kecil diajar sembahyang
Mama oh mamaku sayang

Bila kusakit mama berjaga
Senyum di bibir sentiasa ada
Kau asuh daku penuh mesra
Mama oh mamaku sayang

Mama sungguh besar jasamu
Tak ternilai harta dunia
Doa restu kupohonkan
Mama jadi ahli syurga
Mama aku akan dewasa
Doakanku jadi mujahid muda
Pembela agama sepanjang masa


Kesempatan di sini, muna ingin ucapkan, "ummi, terima kasih banyak2 sebab ummi dah banyak berjasa untuk muna."

Kepada sesiapa yang membaca post ini, usah jemu untuk kita mengucapkan terima kasih buat kekasih hati kita, si ibu yang telah banyak menumpahkan keringat demi melahirkan generasi rabbani bakal penerus perjuangan ummat. Jangan lupa untuk sentiasa mendoakan kebahagiaan kedua ibu bapa kita. Ingatlah, berjasalah sementara masih ada waktu sebelum mereka melelapkan mata buat selama2nya.

Friday, March 13, 2009

Demi Islam, Kita Harus Berjuang!!

بسم الله الرحمن الرحيم00
Dengan Menyebut Nama Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang

Alhamdulillah
Penantian selama 3 bulan berakhir kelmarin
Keputusan SPM?
Hasil ujian nasional? (kata org indonesia)
Ya, dah keluar rupanya...

Apa perasaan?
Sedih? Gembira? atau tak ada perasaan?
Muna pun tak pasti apa yang sedang muna rasakan sekarang

Semalam, muna pergi Johor untuk ambil result SPM. Dalam perjalanan, muna macam tak ada perasaan. Muna rasa, buat apa nak berdebar sebab keputusan memang dah ada. Rasa-rasanya, saat itu, abah yang lebih berdebar dari muna. Abah pula cerita macam-macam supaya debaran tu hilang. Tapi cerita abah memang dapat membuatkan diri ini berfikir kembali. Abah, thanks for everything.!

Saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Nama muna dipanggil untuk mengambil slip peperiksaan. Apa yang muna fikir, "Can i beat my sister's result in 2006?" Hanya Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu. Lafaz hamdalah terus terucap di bibir sebaik sahaja slip peperiksaan ada di tangan. Abah datang menerpa. Muna terus mendapatnya dan berbisik,"maaf abah andai keputusan ini tidak memuaskan hatimu." Sedikit deraian air mata membasahi pipi.

This time, i cannot beat my sister in SPM. Sudah mula rasa kecewa dengan apa yang diperolehi. Lama-kelaman, setelah berfikir panjang, teringat kata-kata yang selalu muna ingatkan diri setiap kali keputusan peperiksaan keluar, "jangan lihat orang yang berada lebih baik @ tinggi daripadamu. Lihatlah mereka-mereka yang berada di bawahmu agar dirimu sentiasa bersyukur dengan kurniaan yang Maha Esa". Sedikit inspirasi mula berputik. Ya Allah, ampunilah diri ini yang sentiasa tidak bersyukur dengan kurnianmu walau nikmatMu kepadaku tidak dapat dinilai dengan harta dunia. Sekali lagi alhamdulillah kerana masih dikategorikan sebagai calon yang cemerlang.

Satu perkara yang muna lupa..

TAHNIAH dan TERIMA KASIH

buat diri muna, kawan-kawan, guru-guru, ummi n abah, dan buat semua yang telah banyak membantu baik secara langsung mahupun tidak.


Teman-teman X-GEN smih, tahniah buat antum yang telah membuktikan bahawa kita mampu melakukan yang terbaik. Ingatlah, setiap gred yang Allah catatkan di atas slip keputusan tu, tak kira A, B, C, D etc, semuanya pasti akan ada hikmah yang tersembunyi buat kita. Masakan Allah pernah melakukan sesuatu tanpa ada hikmahnya?

GPK 2.58
Teringat ketika membentangkan cadangan target SPM 2008 iaitu GPK 2.75 kepada guru-guru, kami (ajk GPK 2008), diminta untuk berbincang kembali agar ditetapkan tidak kurang dari 2.8. Bukan kerana guru-guru tidak mempercayai kami tetapi kerana bimbang kami akan kecewa kalau-kalau nanti tidak mencapai target yang terlalu tinggi. Namun, alhamdulillah. Segalanya dalam perancangan Allah. Dengan usaha dan azam semua ahli X-GEN, kami mampu merealisasikannya. Mabruk 'alaikum..

For all SPM candidates 2008
Remember, SPM is our starting point to a new world
Don't be too confident with your next step
Because the way is too long
And don't be too frustated with yourself
Because you still have next chance to be a hero
Your future is in your hand!

Sekarang muna tengah berfikir, "I have to compete with thousands people? Mampu ke? Calon SPM yang mendapat keputusan cemerlang pun dah menjangkau 10 000 lebih.. By the way, i have to work hard now to get the sponsorship from any company. Pray for me..! Everything for Islam!!
Islam pasti bangkit lambat laun
Janji Tuhan pasti terlaksana
Waktu jangan lagi dibuang sia-sia
Obor semangat ayuh kita nyalakan

Sunday, February 22, 2009

Jom Hapuskan Kulat2 Mazmumah

Assalamualaikum, sahabat2 yang dirahmati Allah sekalian..


'UJUB'
Pernahkah anda mendengar perkataan ini?
>maksudnya, timbul rasa bangga dan berpuas hati dengan apa yang kita lakukan.

Ayuh sama2 kita koreksi diri, memastikan kulat2 mazmumah ini tidak dapat menebarkan sporanya di dalam diri kita. Hayati kisah di bawah;

Imam 'Atha al-Sulami membawa kain tenunannya ke pekan untuk dijual kepada seorang penjual kain. Kain itu satu-satunya hasil tenunannya yang dianggap terbaik diantara yang lain kerana tenunannya telah dikerjakan dengan tekun dan berhati-hati, dengan sepenuh daya kreativitas. Dia cukup berpuas hati dengan hasil tenunannya itu.

Penjual kain yang dikunjunginya di pekan itu membolak-balik kain tersebut. "Tuan akan jual kain ini? Berapa harganya?", tanya penjual kain itu. "Sepatutnya harga kain ini lebih mahal. Tapi aku bersyukur, jika harganya sama dengan harga kain biasa yang pernah engkau beli." jawab 'Atha al-Sulami.

Pekedai kain itu menggeleng-geleng dan tersenyum sumbing. "Tapi kain ini rendah mutunya. Tenunannya tidak rapi, tidak halus, corak dan warnanya tidak menarik. Ukurannya pun lebih kecil daripada ukuran biasa. Jika tuan tidak percaya ucapan saya, tuan boleh tanya orang lain. Bawalah kain ini kepada penjual kain yang lain."

Imam 'Atha al-Sulami merasa sedih dan kecewa. Dia membisu. "Bagaimana pun, hamba boleh beli kain ini, tapi dengan harga yang murah sahaja". Tanpa bertanya tentang harga yang sanggup dibayar oleh penjual itu, perlahan-lahan Imam 'Atha al-Sulami melangkah keluar kedai. Tiba-tiba dia terduduk di warung kaki lima, lalu menangis. Kepalanya yang tertunduk tersengguk-sengguk digoncang oleh sedu-sedan tangisannya itu.

Melihat keadaan itu, tercetus rasa simpati di hati penjual kain, lalu dia segera menghampiri Imam 'Athaal-Sulami. "Sampai begitu sekali kesedihan tuan? Tadi, hamba berkata benar, mutu kain tuan itu rendah. Rugi hamba kalau membelinya dengan harga biasa. Maafkan hamba".

Imam 'Atha al-Sulami menangis terus, seolah kehadiran penjual itu tidak disedarinya. Penjual kain tertunduk resah. "Baiklah. Berikan kepadaku kain itu. Aku beli kain itu dengan harga biasa. Aku sanggup membelinya semata-mata kerana aku mahu menyenangkan hati tuan. Aku kasihan melihat keadaan tuan terlalu sedih sampai menangis begitu rupa. Jika tangisan tuan itu kerana aku, maafkanlah aku..."

"Tidak. Aku sedikit pun tidak merasa kecil hati kepadamu," 'Atha al-Sulami berbicara dengan suara serak. "Malah, aku bersyukur kerana tindakaanmu tadi sungguh-sungguh telah menginsafkan aku". "Jadi, tuan menangis bukan kerana kecewa kerana menawarkan harga kain itu dengan yang lebih rendah daripada biasa?" Imam 'Atha al-Sulami mengangguk dalam tangisannya yang berterusan. .

"Kalau begitu, Kenapa tuan menangis?". "Aku menangis kerana sedih mengingatkan amal ibadatku. Kain hasil tenunanku ini kebetulan ada persamaannya dengan hasil amalan ibadatku selama ini". "Ajaib. Bertambah ajaib. Bagaimana kain itu ada persamaannya dengan ibadat tuan?" "Begini, kain ini aku tenun sebaik-baikya. Seberapa mungkin aku tekun mengusahakannya supaya mutunya baik. Dan sebelum ini aku rasa kain ini cukup baik, bahkan lebih baik daripada hasil tenunanku sebelumnya, tidak ada cacat-celanya. Tetapi sekarang barulah kusedar, apabila dibawa kepada orang yang pakar dalam hal kain seperti engkau, rupa-rupanya kain ini banyak cacat celanya, rendah mutunya".

Kepala Imam 'Atha al-Sulami tertunduk kembali, menahan sedu tangisannya. Ternyata, kesan kesedihannya masih ada dikalbunya. Hal ini ketara sekali kepada penjual kain itu. "Jadi betullah, tuan bersedih dan menangis kerana hamba ...." "Tidak!". Imam 'Atha al-Sulami cepat memotong cakap penjual kain itu. "Aku menangis apabila teringat, betapa amal ibadatku dinilai oleh Allah Taala pada hari Kiamat nanti. Selama ini aku berpuas hati dengan amal ibadatku, sebagaimana aku berpuas hati dengan hasil tenunanku ini. Allah Taala yang Maha Melihat dan MahaMengetahui, sama ada yang nyata atau yang ghaib, yang lahir atau yang batin; sudah pastilah segala 'ujub atau cacat-cela amal ibadatku ketara kepada-Nya. Bandingannya, cacat-cela kain ini ketara kepadamu yang tahu menilainya"

Dia tertunduk pula. Kesedihan masih tersisa di dalam dadanya. "Kerana kelalaianku, tidak pernah terfikir dibenakku tentang ketidak-sempurnaan amal ibadatku, kecuali setelah engkau menyatakan ketidak-semprnaan kain ini. Sekarang aku takut amal ibadatku menjadi sia-sia saja, kerana selama ini rasa ujub, bangga dan rasa puas hati yang telah bersarang di dalam kalbuku terhadap amal ibadatku. Aku bimbang, amal ibadatku rendah mutunya, sama dengan kerendahan mutu kain ini. Itulah yang menyebabkan aku bersedih dan ...." Kepalanya tertunduk pula, menahan serangan kesedihan yang kembali memburaikan tangisannya.

Oleh itu, sahabat2ku fillah, marilah kita menambahkan amal ibadah kita padaNya dan sentiasa mengikhlaskan diri untuk melakukannya, insya-Allah, saat kita bertemu Allah, kita akan dapat melihat senyuman dari Allah!


~ perjalanan masih jauh, perjuangan belum selesai~
Wallahu a'lam


Sunday, February 08, 2009

Sang Pencari Redha Tuhannya

Alhamdulillah thumma Allahu Akbar!!

Akhirnya, dapat juga muna duduk depan laptop nie. Erm, baru saja selesai menjadi murabbi untuk hari ini. Muna minta maaf sebab dah lama tak update blog ini. Lepas pulang dari Jawa, badan pula nak bermanja. Perut ni dah mula merengek, mungkin tak puas lagi makan masakan Jawa.

Begitulah ya, Allah baru uji kita seketika. Nikmat sihat baru Allah tarik buat sementara waktu tapi bagaimana pula dengan nasib sahabat2 kita di Palestin sana.. Diuji dengan penderitaan dan kesakitan yang tiada berpenghujung. Tiba2 aja, muna jadi sebak. Apa yang muna dah buat? "Ya Allah, kau ampunilah dosa hambaMu ini, yang selalu leka dengan nikmatMu, jarang bangat untuk aku bersyukur kepadaMu. Astaghfirullah.."

Muna nak cerita sikit tentang sehari muna di Al-Amin. Setibanya muna di pagar sekolah, ada yang menyambut kedatangan ini. Tenang dan gembiranya rasa hati muna dapat jumpa kembali para mutarabbi (pelajar) yang sebelum ini muna tinggalkan. Subhanallah, mereka masih ingat pada muna. Sebiji muffin muna terima. Itulah indahnya menjadi seorang murabbi, melihat mutarabbinya yang masih mengamalkan islam. Terngiang sayup2 di telinga serangkap dendangan nasyid yang muna dengar empat tahun lalu, sewaktu Majlis Ihtifal Al-Amin;

Guru Al-Amin tetap berjasa
Mendidik kami tanpa rasa bosan
Akan kukenangmu hingga akhir zaman




Tiba2, satu soalan sampai kepada muna, "muallimah ngajar kite lagi tak? Hari tu, preksa math, sorang je yang dapat A, kite nak muallimah ajar kite sampai pandai.." Itulah soalan yang bertubi2 ditanya. Muna tergamam seketika. Muna mungkin dah tak mengajar mereka. Muna ada banyak tugas lain yang muna kena buat. Teringat kata2 Hassan Al-Banna, "kalau kita bisa, ingin aja aku beli waktu terluang dari orang yang banyak membazirkan waktu kerana ternyata innal waajibaat akthar minal awqaat- kewajipan lebih banyak dari masa yang kita ada".



Sebenarnya, muna ke sekolah untuk membawa usrah adik2 form 1. Cuma diperlukan dalam masa hampir 3 jam, tetapi ternyata banyak tugasan lain yang menanti. Begitulah kisah kehidupan seharianku yang mengharapkan redha dari Illahi. Ameen~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails