..bismillahirrahmanirrahim..
Di tengah terik matahari membakar,
peluh terus menitis dan membasahi tubuh, lalu terus memaksa jiwa untuk merasa
sejuknya berpuasa. Yakin akan janji-Nya, “Ajruki ‘ala qadri nashabik;
pahalamu sesuai kadar payahmu..” Masih adakah lagi hari di mana sepoian lembut
angin padang terasa membelai begitu nikmat? Masih adakah lagi waktu di mana
syaithan dibelenggu hingga setiap hirupan nafas pun dirasa penuh kebaikan?
Rabbunallah. Dengan kasih-Mu kami
sampai di bulan ini. Dengan cinta-Mu kami, umat Islam diikat hati.
“Dan Dialah yang menyatukan antara
hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun engkau membelanjakan semua
(kekayaan) yang berada di muka bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati
mereka. Sesungguhnya Dia maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
(Al-Anfaal: 63)
Ramadan hadir membawa mesej Ukhuwwah.
Sementara hati dididik dengan kekukuhan iman dan kekuatan amal, maka hati akan
dipenuhi rasa kasih sayang dan kehangatan cinta. Sayangnya pada keluarga, kasihnya
pada teman, cintanya pada jiran tetangga.
Tidak dilupa muslimin muslimat, jauh dekat di mata tidak ketinggalan.
Ramadan menyampaikan pesan;
#Pesan 1: Jaga Lidah, Jaga Tingkah
Siang hari, betapa berhati-hatinya
dalam kita menuturkan kata, kerana Allah tidak perlu pada lapar dan hausnya
lisan yang terus berdusta, mengunjing, mencela, dan sering ke sana ke mari
menabur bunyi-bunyi kesiaan. Betapa hati-hatinya kita, kerana setiap tingkah
laku walau manusia lain mampu menjejakinya, namun masih mempunyai rahsia antara
diri dan Ilah, akan niat yang menjengah hati walau sesaat cuma, bimbang
bermaksiat kepada-Nya. Inilah indahnya tarbiyyah Ramadan.
Orang yang berpuasa merupakan orang
yang kasih sayangnya paling peka. Disebabkan itu jiwanya menyayangi, mengasihi
dan bersikap lembut terhadap kaum muslimin. “Sesungguhnya Allah memberikan
wahyu kepadaku untuk bersikap tawadhu’,” kata Iyadh bin Himar al-Majasyi’i
meriwayatkan dari Rasulullah saw; “hingga seseorang tidak menyakiti yang
lainnya dan tidak berbangga diri terhadap orang lain.” [HR Muslim]. Saat
kerongkong kehausan, dituturnya yang baik-baik sahaja agar saudaranya tidak
berkecil hati. Saat perut kelaparan, diajar melakukan perkara-perkara
bermanfaat sahaja, agar saudara sekeliling merasa bahagia. Lalu layaklah mereka
menerima ganjaran agung dari-Nya, nikmat persaudaraan;
“Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan beramal shalih, kelak Ar-Rahmaan akan menanamkan
dalam hati mereka rasa kasih sayang.”
(Maryam: 96)
#Pesan 2: Berkongsi Rezeki Tuhan,
Tamak Bukan Jalan
Antara faktor yang menghilangkan
kasih sayang ialah perut yang terlalu kenyang. Perut yang kenyang hanya akan
menimbulkan sikap tamak dan haloba. Lalu bulan puasa datang untuk menghancurkan
sikap ini. “Cinta dunia, nikmatnya dan perhiasannya,” demikian dikatakan
Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya, “telah menyibukkan kalian dari mengharap
akhirat; memikirkan, mengupayakan, serta memburunya.” Sejalan hasrat,
terus-menerus kelalaian itu tak dapat diputus apa pun. Dan seiring syahwat,
sambung-menyambung kealpaan itu tak dapat dibendung.
Di sana sini dilihat berlumba-lumba
manusia menghulurkan. Rumah anak-anak yatim ‘fully-booked’ untuk majlis iftar.
Masjid-masjid dilimpahi makanan, menu silih berganti sehari-harian. Ketika ini,
dilihat insan-insan yang menjadikan seolah-olah harta itu tidak begitu berharga
baginya. Seakan dunia itu begitu hina di matanya. Ringan baginya menyeluk poket
pada pakaian, mudah baginya mengeluarkan tabung yang telah lama disimpan, dan
seakan tiada beban dia menghulur bantuan. Moga spirit berterusan, menjadikan dunia
di tangannya dan akhirat di hatinya.
Begitu kisah mereka. Bagaimana kita terkesan
akan fenomena Ramadan ini. Ingat sahaja imbalan, moga dikurnia kekuatan. “Hajatmu
pada pemberian Rabbmu,” demikian dikatakan oleh Imam Ibn Al-Jauzy, “lebih
besar daripada hajat orang yang kau bantu terhadap pertolonganmu”. Sungguh,
dalam amal memberi, Allah-lah yang menganugerahi kita niat di dalam hati,
kemampuan di tangan, dan pahala seusai kejadian.
#Pesan 3: Dicari Berkah Berjamaah, Ditingkat
Prestasi ‘Uzlah
Ramadan, istimewa dari bulan lainnya.
Tersedia pelbagai peluang untuk bersama. Kegiatan-kegiatan ibadah yang
dilakukan secara jama’ie merupakan momentum dalam meluaskan lingkungan ta’aruf
dan lebih mengukuhkan hubungan sesama muslim. Dari tidak mengenali jiran
sebelah, akhirnya memberi salam bertukar juadah berbuka. Dari tidak bergaul
rapat dengan ahli qaryah, akhirnya mampu duduk sedulang menjamah juadah iftar.
Lagi ditambah tadarrus dan tadabbur
berkumpulan, mendirikan solat terawih berjemaah walau hanya lapan, dan amalan
I’tikaf yang mana masjid malamnya dihidupkan. Demikian diari aktiviti muslim dalam bulan
Ramadan. Penuh jadualnya untuk berukhuwwah. Sedang rintih bersama Tuhan,
mintanya pada Rahmaan, tetap dijaga rapi amalan walau bersendirian.
#Pesan 4: Banyak Doakan Saudara, Rugi
Takkan Menerpa
“Ya Rasulallah!”, terpa Sa’ad
bin Abi Waqqas, “Doakanlah pada Allah
agar doa-doaku ini diterima”. Lalu jawab Baginda saw, “Wahai Sa’ad,
bantulah aku dengan memperbaiki makananmu.. Bantulah aku dalam memperbaiki
makananmu.” Ya, halal atau haramnya, thayyib atau khabitsnya, merupakan
soal diterima atau ditolaknya doa kita. Ramadan, dengan pemeliharaan makanan,
mampu menjamin kedekatan kita dengan Yang Maha Agung.
Di saat puasa mengeringkan bibir,
memayahkan jasad beraksi, namun dengan kayanya jiwa, maka berdolah pada Allah.
Rasulullah saw telah menjaminkan,
“Sesungguhnya Allah memiliki
hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka di tiap siang dan malam bulan Ramadhan,
dan sesungguhnya tiap muslim yang berdoa, maka akan dikabulkan baginya.”
[HR Ahmad]
Penutupnya, semoga pesan Ramadan tentang ukhuwwah ini mampu
menggetarkan hati lalu melahirkan tindakan. Allahumma Innaka ‘Afuwwun
Kareem, Tubibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anna.. Di tiap sayup tadarrus malam,
proklamasi langit itu menggema, “Adapun puasa itu untuk-Ku, dan Aku
sendirilah yang akan memberikan pahalanya..”
"Kata pengatur bicara
Lidah saksi segala
Di hadapan Rabb pemilik kita"
..wassalam..